[ad_1]

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mempersoalkan mengapa Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru dilancarkan pada 15 Jun lalu, dan bukannya semasa pelaksanaan Proklamasi Darurat pada 13 Januari 2021.

Beliau meminta penjelasan mengapa perlu mengambil masa enam bulan untuk melaksanakannya selepas darurat diisytiharkan.

“Pertanyaan saya ialah kenapakah Pelan Pemulihan Negara ini tidak dibuat sebelum 13 Januari? Apakah sebenarnya niat kerajaan untuk mengisytiharkan darurat pada 13 Januari 2021?

“Apakah ini digunakan untuk memulihkan negara atau semata-mata untuk mengelakkan persidangan Parlimen pada bulan Mac yang lalu?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mempersoalkan mengapa PPN yang dilaksanakan tidak mengurangkan jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 sehari.

“Saya ingin bertanya kenapa selepas dilancarkan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun, pada ketika itu kes sehari COVID-19 ialah lebih kurang sebanyak 4,000.

“Pada hari kemarin (Ahad) sebanyak 17,000. Ini bererti bahawa berkali-kali gagal, berkali – kali tidak berjaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Madius turut meminta penjelasan terhadap pelbagai pelan yang dibuat termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan memberi bantuan.

“Dikatakan bantuan dihantar ke Sabah sebanyak RM130 juta bantuan dalam bentuk makanan dan sebagainya.

“Akan tetapi sehingga hari ini kita tidak nampak. Kalau dahulu di Sabah semasa Kerajaan Warisan sebanyak RM20 juta untuk bantuan makanan kita boleh bagi berfasa sampai sebanyak lima kali.

“Akan tetapi hari ini sampai makanan di pejabat daerah pun busuk. Tidak dapat dihantar dan sebagainya,” tegas Madius.

The post Mengapa PPN hanya dilaksanakan selepas 6 bulan darurat – soal Madius appeared first on Sabah News Kini : Portal Berita Semasa Dalam Dan Luar Negara.

[ad_2]

Source link