[ad_1]

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil tindakan daripada sudut perundangan mahupun tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak yang mengambil bahagian dalam mogok Hartal Doktor Kontrak yang dianjurkan di seluruh negara.

Presidennya Adnan Mat berkata, difahamkan tindakan “demonstrasi” itu tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan bercuti.

“Berilah mereka peluang yang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, walaupun CUEPACS pada dasarnya tidak bersetuju dengan tindakan dilakukan sekumpulan pegawai perubatan kontrak tersebut kerana khuatir boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan ketika ini, terdapat cara lain yang boleh dilakukan daripada bertindak melakukan aktiviti berkumpul tersebut.

Adnan Mat.

Katanya, bagaimanapun CUEPACS menghormati suara yang dibawa oleh kumpulan pegawai perubatan kontrak ini yang disifatkan hanya mahu permasalahan mereka didengari dan diselesaikan oleh kerajaan.

“Dalam masa sama CUEPACS berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera permasalahan dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak ini berhubung penempatan mereka khususnya dari aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara.

“Berikan satu ‘time frame’ yang jelas terhadap usaha akan dilakukan oleh kerajaan melalui pihak KKM. Kerajaan juga perlu melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop dan fungsi asalnya. Ketika ini terdapat juga doktor yang bertugas di bahagian pengurusan untuk laksana kerja pentadbiran dengan juga kewangan sedangkan kepakaran mereka adalah di bahagian perubatan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Katanya, dalam masa sama doktor muda yang sudah bergelar pakar di hospital kerajaan perlu terus komited berkhidmat di sektor kerajaan setelah menyambung pengajian melalui kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Beliau berkata, CUEPACS juga berharap kerajaan dapat membuka ruang untuk doktor-doktor ini boleh melanjutkan bidang kepakaran di mana-mana institusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus boleh menjadi pakar jika telah berkhidmat dengan hospital kerajaan sahaja.

“Dasar sekarang telah menutup peluang doktor muda untuk menyambung bidang kepakaran jika tidak berkhidmat di sektor kerajaan. Disebabkan dasar itulah ada desakan untuk doktor muda ini mendapat jawatan tetap bagi tujuan sambung belajar.

“Dasar ini bolehlah diubah sebagaimana Skim Pegawai Farmasi dan Skim Pegawai Pergigian yang boleh sambung belajar tanpa melalui KKM, ” katanya.

Selain itu katanya, hospital swasta juga boleh mengambil tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan bagi doktor-doktor muda ini menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan kepakaran mereka juga diperlukan oleh hospital swasta.

The post Tolong jangan ambil tindakan sama doktor kontrak yang ikut mogok – CUEPACS appeared first on Sabah News Kini : Portal Berita Semasa Dalam Dan Luar Negara.

[ad_2]

Source link