[ad_1]

Sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital utama hari ini menunaikan janji mereka untuk melaksanakan “walk-out” sebagai sebahagian daripada Gerakan Hartal Doktor Kontrak.

Mogok yang antara lainnya dibuat bagi menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah yang sama seperti doktor berjawatan tetap dimulakan pada 11 pagi.

Di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seramai kira-kira 50 doktor berjalan keluar dari bangunan hospital, dengan diperhatikan oleh kira-kira 30 anggota polis.

Seorang wakil doktor kontrak terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Muhammad, menyeru rakyat agar menyokong mereka.

“Mogok kami bukan satu penentangan, kami hanya ingin kerajaan beri kami hak dan faedah seperti yang diperolehi doktor (berjawatan) tetap.

“Kami semua di sini membantu merawat pesakit Covid-19. Setakat ini, 150 pegawai perubatan kontrak telah meletak jawatan kerana letih dengan sistem ini,” katanya.

Polis kemudian mengarahkan petugas media supaya beredar.

Sementara itu, di Hospital Bersepadu MAEPS, sekumpulan doktor melakukan mogok dari dewan masing-masing dan mengangkat sepanduk tertera tanda pagar #hartal, #contract dan #Justice4juniorDRS. Petugas media di sini turut diarahkan polis supaya beredar.

Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah in Klang, kira-kira 30 orang doktor kontrak meninggalkan bangunan hospital sekitar 11.50 pagi.

Wakil kumpulan berkenaan berkata, mereka diberi tekanan daripada pihak atasan supaya tidak mengadakan mogok pagi ini, namun mereka sepakat untuk mengadakan protes aman di pekarangan hospital.

“(Pihak atasan memberi amaran) jika anda terus lakukan, kami (pengurusan) akan beri surat amaran,” katanya.

Majoriti mereka mengulangi desakan supaya diserapkan ke jawatan tetap selepas tamat tempoh latihan “housemanship” selama lima tahun.

Sementara itu, gerakan ini tidak begitu mendapat sambutan di hospital sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

Tinjauan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) mendapati hanya dua individu dipercayai doktor kontrak yang keluar dari bangunan hospital sambil menunjukkan kertas yang bertulis “We are your future specialist” dan “#hkontrak”.

Kira-kira 20 petugas media berada di hadapan lobi QEH1 untuk membuat liputan, namun mereka dihalang daripada memasuki kawasan pekarangan lobi.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak sebelum ini berkata, mogok akan diteruskan di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara walaupun kerajaan memutuskan khidmat mereka dilanjutkan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Katanya, tawaran kerajaan untuk menyambung kontrak itu bukanlah suatu penyelesaian malahan disifatkan sebagai “gula-gula” untuk menutup mulut.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua pegawai perubatan, pegawai pergigian, dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Portal berita The Malaysian Insight melaporkan bahawa Cawangan Khas dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dikerahkan ke hospital untuk memantau keadaan dan bersedia untuk menahan petugas kesihatan yang tidak mengikut arahan.



Post Views:
1

[ad_2]

Source link