[ad_1]

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu berikutan sentimen berterusan mengenai kenaikan kes Covid-19 terus menjejaskan mata wang tempatan walaupun harga minyak mentah lebih tinggi, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut 80 mata asas kepada 4.2320/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2265 ketika ditutup pada Isnin.

Penganalisis Pasaran Kanan, OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley berkata pelabur dilihat berterusan keluar dari pasaran mata wang ASEAN ekoran bimbang varian Delta Covid-19 akan melembapkan pemulihan pascapandemik rantau ini.

Kes Covid-19 harian Malaysia kekal melebihi 10,000 apabila merekodkan 11,985 kes baharu pada Rabu dan angka itu menjadikan kes keseluruhan sebanyak 951,884.

“Berlandaskan andaian sentimen negatif ini berlanjutan, jika kes kekal tinggi di Malaysia, kami menjangkakan dolar AS berbanding ringgit menguji paras 4.2500 minggu ini dan 4.3000 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim memberitahu, walaupun harga minyak mentah Brent meningkat pada Rabu, yang sewajarnya mempunyai kaitan dengan ringgit, namun kebimbangan mengenai varian Covid-19 baharu telah menjejaskan kenaikan dalam pasaran minyak.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent naik 1.15 peratus kepada AS$70.15 (RM296.91) setong.

Semasa penutupan dagangan, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0938/0961 daripada 3.1034/1057 ketika ditutup pada Isnin dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7695/7729 daripada 5.8038/8072.

Unit tempatan turut meningkat berbanding yen kepada 3.8448/8474 daripada 3.8470/8493 namun rendah berbanding euro kepada 4.9819/9849 daripada 4.9750/9780 pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa bagi cuti umum sempena sambutan Aidiladha. -Bernama

[ad_2]

Source link