[ad_1]

BURSA Malaysia ditutup lebih rendah hari ini dengan kebanyakan indeks kekal dalam zon negatif disebabkan sentimen pasaran secara keseluruhan kekal lemah.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 0.47 peratus atau 7.24 mata kepada 1,512.32 berbanding 1,519.56 yang dicatatkan semalam.

Bagaimanapun pasaran dibuka 1.21 mata lebih tinggi pada 1,520.77. Indeks utama bergerak antara 1,509.57 dan 1,522.87 sepanjang sesi perdagangan hari ini.

Dalam pasaran yang lebih menyeluruh, saham rugi mengatasi untung pada 542 berbanding 411, sementara 465 kaunter tidak berubah, 809 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 4.37 bilion unit bernilai RM2.99 bilion daripada 4.54 bilion unit bernilai RM2. 53 bilion yang direkodkan semalam.

Menurut seorang penganalisis, jumlah kes Covid-19 telah menyaksikan peningkatan yang drastik, dengan 11,618 kes dicatatkan hari ini dan 11,079 kes semalam, oleh itu, kerajaan mungkin terpaksa menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.

“Ini akan memberi tekanan yang lebih banyak ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk sektor pembuatan serta pembinaan yang mana sekatan yang lebih lama akan memicu kenaikan kadar pengangguran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata selain kes Covid-19 yang tinggi, pasaran ekuiti tempatan juga mencerminkan prestasi saingannya yang lain, susut ketika pelabur menilai data inflasi Amerika Syarikat yang melonjak 0.9 peratus dari bulan ke bulan pada Jun lepas.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing jatuh satu sen kepada RM8.05 dan RM4.07, Petronas Chemicals turun tujuh sen kepada RM8.03, TNB merosot empat sen kepada RM9.62, manakala IHH tidak berubah pada RM5.64 dan CIMB meningkat tiga sen kepada RM4.53.

Bagi kebanyakan kaunter aktif, Pasukhas mencatatkan kerugian sebanyak 10 sen kepada 23 sen, Serba Dinamik menurun 3.5 sen kepada 41 sen dan Lambo kekal pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 27.00 mata kepada 11,028.49, Indeks FBMT 100 turun 28.56 mata kepada 10,744.60 dan Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 20.52 mata kepada 12,076.07.

FBM ACE bagaimanapun melonjak 31.87 mata kepada 7,105.15 dan FBM 70 meningkat sebanyak 51.27 mata kepada 14,358.58.

Daripada segi sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 52.05 mata kepada 14,884.10, Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian turun 0.22 mata kepada 186.83 manakala Indeks Perladangan berkurangan sebanyak 24.80 mata kepada 6,217.33.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.50 bilion saham bernilai RM2.39 bilion daripada 2.55 bilion saham bernilai RM1.92 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 224.72 juta unit bernilai RM27.94 juta berbanding 269.89 juta unit bernilai RM27.82 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE mengecil kepada 1.64 bilion saham bernilai RM573.71 bilion daripada 1.71 bilion saham bernilai RM579.47 bilion yang dicatatkan pada Selasa.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 406.50 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (827.54 juta), pembinaan (106.37 juta), teknologi (359.71 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.30 juta), harta tanah ( 137.57 juta), perladangan (16.56 juta), REIT (4.32 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (389.67 juta), penjagaan kesihatan (92.0 juta), telekomunikasi dan media (34.46 juta), pengangkutan dan logistik (59.88 juta) serta utiliti (14.22 juta). -Bernama

[ad_2]

Source link