[ad_1]

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meskipun minyak mentah Brent mencatatkan harga lebih kukuh.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1605/1625 berbanding dolar AS daripada 4.1530/1560 ketika ditutup pada Selasa.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, laporan mengenai pembuat sarung tangan getah menghentikan operasi buat sementara waktu semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mungkin membimbangkan sebilangan pelabur.

Beliau berkata, ini kerana para pelabur menjangkakan tindakan itu boleh menjejaskan eksport Malaysia akan datang.

“Selain itu, angka memberangsangkan bagi vaksinasi harian yang direkodkan semalam tidak cukup untuk menambah baik sentimen pasaran berikutan jumlah kes baharu harian Covid-19 masih tinggi, iaitu 7,097 kes hari ini,” katanya kepada Bernama.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa meningkat 1.69 peratus kepada AS$75.79 (RM315.44) setong.

Sementara itu, penganalisis berkata, kelemahan ringgit berbanding dolar AS adalah kerana sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual diadakan pada Khamis, 8 Julai, 2021.

BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada 1.75 peratus, katanya.

Unit tempatan diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.7452/7480 daripada 5.7502/7544 semasa ditutup pada Selasa namun rendah berbanding euro kepada 4.9210/9234 daripada 4.9172/9207.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7563/7585 daripada 3.7482/7512 semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0878/0895 daripada 3.0877/0902. -Bernama

[ad_2]

Source link