[ad_1]

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat satu lagi pencapaian penting berikutan ketibaan mesin pengorek terowong (TBM) pertama dari China bagi memulakan kerja-kerja pengorekan terowong berkembar Genting sejauh 16.39 kilometer antara Bentong dan Gombak.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ketibaan TBM itu adalah sepertimana dijadualkan selepas menjalani ujian kilang yang menyeluruh di China.

Beliau turut menyifatkan penghantaran tersebut sebagai selari dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 2 September 2020 yang bersetuju meluluskan jajaran Seksyen C kembali ke jajaran asal iaitu Temerloh-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

“(Pihak) Projek ECRL menghargai penghantaran TBM buatan China ini dihasilkan menerusi teknologi canggih serta dihantar oleh China Communications Construction Co Ltd (CCCC) berdasarkan jadual yang ditetapkan.

“Kami optimis bahawa mesin berteknologi tinggi ini dapat menghadapi cabaran dari segi kejuruteraan dan keadaan geologi ketika kerja-kerja pengorekan itu merentasi Banjaran Titiwangsa,” katanya.

Mesin yang dihasilkan oleh CCCC Tianhe Machinery and Equipment Manufacturing Co Ltd dari Shanghai dan telah diasingkan, memulakan perjalanan pada 25 Jun 2021 dan tiba di Pelabuhan Klang pada 4 Julai lepas.

Mohd Zuki berkata, amat penting bagi kerja-kerja pengorekan Terowong Genting itu dimulakan secepat mungkin memandangkan ia adalah komponen utama projek ECRL dan melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

Pada masa sama, ia juga dapat terus menghubungkan para penumpang dari negeri-negeri Pantai Timur ke Gombak yang merupakan pintu masuk utama ke ibu negara, kata Mohd Zuki.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Terowong Genting itu merupakan terowong ECRL pertama dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding cara gerudi dan letup bagi terowong-terowong sedia ada projek tersebut.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa pekerja ECRL ini berpengalaman dan bersedia mengendalikan TBM bagi kerja-kerja pengorekan terowong rel terpanjang di Malaysia apabila siap kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan pula menyifatkan ketibaan TBM itu sebagai memberi isyarat bahawa aktiviti projek tersebut kini lebih dipergiat.

“Sejajar dengan ketibaan TBM, kami menjangkakan dapat meningkatkan jumlah tenaga kerja di Seksyen 7, Bentong untuk mengisi pelbagai kekosongan jawatan dalam bidang pengurusan dan bukan pengurusan seperti mandur dan operator kren.

“Bagi kemajuan masa depan, kami merancang untuk melibatkan lebih banyak tenaga kerja tempatan selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat di sepanjang jajaran itu,” katanya.

TBM seberat 1,600 tan dan panjang 266 meter, dilengkapi dengan empat silinder tork serta direka khusus bagi kegunaan dalam keadaan batuan keras, sekali gus menjadikannya antara TBM terbesar bagi kerja pengorekan terowong laluan rel di Malaysia.

Dalam tempoh empat hari akan datang, TBM akan diangkut oleh satu konvoi trak dari lokasi di Northport (Pelabuhan Klang) ke Bentong melalui Lebuhraya Karak atau laluan alternatif Tampin, Negeri Sembilan dan Muadzam Shah, Pahang bagi muatan besar.

Ia akan dipasang semula dalam kawasan kerja kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) serta menjalani ujian lanjut sebelum usaha pengorekan Terowong Genting dimulakan pada suku keempat tahun ini.

TBM akan menjalankan tiga tugas utama iaitu menggali terowong, mengangkut sisa galian ke permukaan dan memasang panel konkrit sebagai dinding terowong.

Mesin yang berkapasiti penggalian maksimum 700 meter sebulan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk melengkapkan kerja-kerja penembusan Terowong Genting tersebut. – Bernama

[ad_2]

Source link