[ad_1]

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pihak pengurusan universiti mengurangkan beban kerja mahasiswa serta memandang serius isu kesihatan mental membabitkan pelajar yang kini menjalani kelas dalam talian.

Ini susulan kematian dua mahasiswa universiti tempatan yang dipercayai menghadapi tekanan akibat lambakan tugas, ujian dan peperiksaan yang terlalu berat.

Presiden KMUM, Muhammad Haziq Azfar Ishak, berkata mahasiswa dan mahasiswi di beberapa universiti lain juga pernah menyuarakan supaya beban kerja dikurangkan dengan menambahkan tempoh masa sebelum tarikh akhir penghantaran tugas bagi menyelesaikan isu ini.

“Pembelajaran atas talian yang sudah dijalankan selama hampir dua tahun ini cukup memberi impak membimbangkan terhadap kesihatan mental mahasiswa, selain dibebani lambakan tugasan, ujian dan peperiksaan yang terlalu berat diberikan kepada mahasiswa dengan tempoh persiapan yang sangat pendek.

“Justeru, KMUM berpandangan pihak berkaitan supaya tidak menidakkan suara mahasiswa yang mengutarakan isu ini. Mahasiswa berhak untuk menyuarakan isu yang kini membabitkan nyawa mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Media sebelum ini melaporkan seorang mahasiswa jurusan pentadbiran perniagaan berusia 22 tahun daripada universiti awam meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah, Jumaat lalu.

Seorang pelajar Diploma Kejuruteraan Awam dari kampus UiTM Jengka juga meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, pada Sabtu lalu setelah dilapor mengalami kecederaan di bahagian belakang dan atas kepalanya hingga berlaku pendarahan dalaman.

Muhamad Haziq berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai pihak yang lebih berautoriti digesa segera campur tangan.

“Walaupun universiti mempunyai autonomi dalam membuat keputusan berkenaan tugasan, ujian, peperiksaan dan hal ehwal akademik, KPT sebagai pihak yang lebih berautoriti seharusnya campur tangan dalam isu itu. Mendiamkan isu ini bermakna nyawa mahasiswa tidak dipedulikan,” katanya.

Justeru, katanya, KMUM mencadangkan pelajar diberi tempoh bertenang menyiapkan lambakan tugasan, selain turut menyarankan pensyarah mengambil kira suara mahasiswa secara demokratik serta perwakilan mahasiswa daripada universiti lain bersikap proaktif membawa isu terbabit ke pihak pentadbiran universiti.

Sementara itu, Gerakan Mahasiswa Demokratik (GMD) dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) turut menggesa KPT serta institusi pengajian tinggi mengambil langkah meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Mereka mencadangkan bebanan kerja mahasiswa diminimumkan serta tiada tugasan atau ujian diberikan pada saat akhir, selain masa rehat selama seminggu diberikan selepas setiap empat minggu.

“Semua kelas, ujian atau kuiz hanya dihadkan kepada waktu bekerja sahaja supaya tidak mengganggu masa pelajar menguruskan hal lain dan memberi peluang kepada pelajar berehat.

“Selain itu, subjek yang tidak penting harus dihapuskan supaya pelajar dapat fokus kepada subjek penting yang memberi impak kepada kebolehpasaran pelajar selepas bergraduasi,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan ketua penerangan GMD, Affan Nassruddin dan Pengarah Libat Urus dan Mobilisasi Muda, Dr Mathen Nair.

Katanya, ia adalah mengambil kira situasi pandemik yang semakin kritikal melanda negara kita, pelajar tidak seharusnya diharapkan untuk meneruskan pembelajaran seperti tiada apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka.



Post Views:
4

[ad_2]

Source link