Seorang Pati Penjenayah Tegar Dikehendaki serang polis ditembak mati

Seorang Pati Penjenayah Tegar Dikehendaki serang polis ditembak mati


SEMPORNA: Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang anggota polis menggunakan parang di perkampungan atas air di Kampung Panji Laut, dekat sini, jam 11.30 malam kelmarin.

Suspek dikenali sebagai Jamal Salih Kaldo, 40-an, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang juga penjenayah tegar dikehendaki polis kerana terbabit kes curi dan pecah rumah, selain pelbagai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pada awalnya Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat berhubung kelibat suspek dalam buruan itu sebelum polis membuat serbuan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa menggunakan bot samaran sebelum serbuan dilakukan ke atas sebuah bilik di rumah terbabit.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pasukan kemudian bertindak menolak pintu bilik sebelum suspek dilihat mencapai sebilah parang panjang lalu terus meluru sambil melibas parang ke arah anggota polis.

“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan tembakan amaran sebelum terkena pada paha, namun lelaki itu terus menyerang anggota polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Farhan berkata, suspek bagaimanapun enggan menyerah, sebaliknya terus bertindak agresif dan semakin ganas sebelum tembakan kedua terpaksa dilepaskan dan mengenai tengah perut suspek.

Katanya, anggota polis kemudian melepaskan tembakan ketiga apabila suspek yang dalam keadaan cedera masih menyerang anggota polis termasuk menggunakan `Flying Feather’ (lastik panah).

“Suspek akhirnya rebah di atas lantai selepas tembakan ketiga itu mengenai perut kiri dan rusuk sebelum dia disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 12.40 tengah malam semalam.

“Turut dirampas sebilah parang panjang, sejenis lastik tangan (flying feather), anak panah dan pisau,” katanya.

Farhan berkata, dengan tumpasnya suspek terbabit, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes jenayah membabitkan kes curi dan pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya.



Post Views:
16



loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *