Seorang Remaja Ditahan Bersama 2.12 Kilogram Syabu Di Telipok Ria Ditahan

Seorang Remaja Ditahan Bersama 2.12 Kilogram Syabu Di Telipok Ria Ditahan



TUARAN: Seorang remaja lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 2.12 kilogram dalam satu serbuan di Taman Telipok Ria, dekat sini pada Sabtu.

Remaja tempatan berusia 19 tahun itu dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran hasil daripada maklumat dan risikan yang dilakukan.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2.12 kilogram yang dianggarkan bernilai RM84,824 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan suspek dipercayai baru bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak beberapa minggu lalu,” katanya dalam sidang media di IPD Tuaran hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan Toyota Avanza dan hasil saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan. Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Polis juga akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kumpulan sindiket atau suspek tangkapan dadah lain yang mempunyai kaitan dengan remaja terbabit.

“Siasatan akan diteruskan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pengedaran dadah di kawasan Taman Telipok Ria ini” katanya. – Utusan Online



Post Views:
1



loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *