KEKURANGAN GURU DI SARAWAK: GGPUA CADANG SERAP ISMP UA KELAHIRAN SARAWAK

KEKURANGAN GURU DI SARAWAK: GGPUA CADANG SERAP ISMP UA KELAHIRAN SARAWAK


KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) membangkitkan isu kekurangan guru di negeri Sarawak yang kini di paras kritikal.

Presiden KGBS, Ahmad Maile dalam kenyataannya menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar dapat menyelesaikan kemelut kekosongan guru di negeri itu yang semakin membimbangkan, demi kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Press Conference Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS)

Gambar: DayakDaily

“KGBS menggesa KPM agar dapat mengisi kekosongan guru di Sarawak dengan kadar yang segera. KGBS menggesa sedemikian ekoran kekurangan guru di Sarawak yang pada pandangan KGBS amat kritikal. Jadi, KGBS mendapat maklumat ataupun info ini daripada aduan dan laporan guru-guru yang mengeluh dengan situasi kekurangan guru di sekolah mereka berada sehingga ke hari ini.

“Disebabkan kekurangan (guru) ini, ia telah menimbulkan masalah kepada pentadbir sekolah, berkaitan dengan pengagihan mata pelajaran untuk guru-guru dan tugas-tugas yang lain. Oleh itu, demi kepentingan pembelajaran murid-murid, KGBS merayu agar KPM dapat mempertimbangkan rayuan KGBS ini.  Ini adalah berkaitan dengan isu kekurangan guru (di Sarawak),” katanya.

Susulan kenyataan itu, wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Chonnel George mencadangkan mekanisme iaitu serap masuk graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Awam (UA) kelahiran Sarawak bagi menyelesaikan isu tersebut.

Chonnel George

“Graduan ISMP UA Kelahiran Sarawak setakat ini mencecah 400 graduan, dan sedia berbakti kepada sekolah pada bila-bila masa. Mereka (graduan ISMP UA Sarawak) ini mempunyai ikhtisas perguruan, dan sudah dibiasakan dengan keadaan di sekolah, malahan telah menjalani latihan mengajar di sekolah selama hampir lima bulan lamanya.

“Dengan melantik terus graduan ISMP UA kelahiran Sarawak ini, KPM tidak perlu memberikan sebarang kursus atau latihan persediaan awal mengajar di sekolah, atas dasar graduan ini sudah ‘well-trained’ sebagai seorang guru, dan boleh mengajar pelbagai subjek. Secara tidak langsung, ianya dapat memudahkan pengurusan KPM serta menjimatkan kos perbelanjaan pentadbiran dalam merekut guru baharu.

“Keutamaan seharusnya diberikan kepada anak jati Sarawak dalam urusan pengambilan guru kerana ianya selaras dengan dasar 90:10 pengambilan guru yang terpakai di negeri itu (Sarawak). Secara tidak langsung, langkah ini dapat mengurangkan lambakan graduan ISMP UA kelahiran Sarawak yang belum posting setelah sekian lama. Pihak kami ada data-data semua graduan yang dimaksudkan, dan sedia bekerjasama dengan pihak KPM dalam urusan ini,” katanya di sini hari ini.


Post Views:
7



loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *